KENYATAAN PRESIDEN

KENYATAAN PRESIDEN UNTUK LAMAN WEB KEPAK

Saya ingin memaklumkan kepada semua ahli KEPAK khususnya dan semua PPT bahawa kertas Cadangan Penambahbaikan Skim PPT yang telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 16 November 2009 lalu masih belum ada sebarang keputusan mengenainya sehingga ke hari ini. Saya telah difahamkan oleh pegawai daripada Bahagian Pembangunan Organisasi, JPA kertas cadangan tersebut telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Gaji Sektor Awam yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan Mac 2010 lalu. Di dalam mesyuarat tersebut YAB PM telah memutuskan agar Bahagian Saraan, JPA membuat kajian rombakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ada sekarang melibatkan semua skim perkhidmatan termasuk PPT. Ini disebabkan SSM yang berkuatkuasa pada 1 November 2002 telah sampai masa untuk di kaji dan dirombak semula dengan sistem saraan yang baru (mungkin Sistem Saraan 1Malaysia). Dengan perkembangan terbaru ini maka impian kita untuk melihat penambahbaikan skim PPT sepertimana skim-skim lain seperti Penghulu, Setiausaha Pejabat, Polis dan sebagainya tidak kesampaian dan menjadi kenyataan. Surat kepada JPA telah dihantar oleh KEPAK pada 23 April 2010 untuk mendapatkan kepastian kedudukan  kes ini sekarang.

Disamping itu, pada masa yang sama KEPAK telah mengemukakan memorandum terbaru mengenai Cadangan Penambahbaikan Skim PPT Bagi Mewujudkan Skim Perkhidmatan Bersepadu Penolong Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD)/Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) kepada YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri. Seramai 6 orang wakil KEPAK yang terdiri daripada Presiden, Naib Presiden, Encik Azmi Mohamad (mantan Naib Presiden), Tuan Haji Rusly Nordin, Encik Rosli dan Puan Sharifah Habshiyah Ahmad (AJK Biro Skim), telah berjumpa dan berbincang dengan Pegawai Khas YAB Perdana Menteri, Encik Muhammad Ammir bin Haron pada 8 Mac 2010 di Putra Perdana, Jabatan Perdana Menteri dan seterusnya menyerahkan memorandum tersebut kepada beliau untuk disampaikan kepada YAB Perdana Menteri.

Pegawai Khas YAB Perdana Menteri telah mengambil tindakan pantas mengemukakan memorandum tersebut kepada Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam, KPPA pada hari yang sama memohon ulasan dan maklumbalas daripada pihak JPA. Pihak KEPAK ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Encik Muhammad Ammir yang begitu prihatin terhadap skim PPT sekarang yang jelas tidak mempunyai peluang kemajuan kerjaya yang sepatutnya berbanding dengan skim-skim lain.

Justru, kita mengharapkan agar usaha pihak Kesatuan dalam memperjuangkan dan memertabatkan skim PPT ke tahap yang sepatutnya akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak Kerajaan/JPA jua dalam waktu yang terdekat, lebih-lebih lagi KEPAK akan menyambut perayaan Jubli Emasnya sempena 50 tahun penubuhannya (1960—2010).

Sekian dimaklumkan. Terima kasih.

“UNITED WE STAND”

SAADON BIN HAJI ARIS

Presiden KEPAK

Bertarikh :    26 April 2010

This entry was posted in Berita Terkini. Bookmark the permalink.